Saturday, October 27, 2007

Badan Sihat, Minda Cerdas




26 Oktober 2007 – Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Begitulah rapatnya hubungan pelajar kolej dengan penduduk Kampung Ketior. Disebabkan perasaan kasih sayang sebigini , para pelajar Malay College Kuala Kangsar telah menganjurkan ceramah nutrisi dan pemakanan, pameran kesihatan, dan pemeriksaan kesihatan di Kampunbg Ketior.

Ceramah nutrisi dan pemakanan telah disampaikan oleh Encik Habibullah bin Mohd Katib, Pegawai Pemakanan Jabatan Kesihatan Kuala Kangsar, yang sanggup turun kerana memahami kasih saying antara pelajar kolej dan saudara mereka di Kampung Ketior.

Selain itu, pameran menarik tentang kesihatan juga telah Berjaya dianjur oleh pelajar kolej. Hal ini Berjaya memastika saudara mereka di Kampung Ketior tahu hidup dalam suasana yang sihat.

Di samping itu, bagi memastikan tahap kesihatan penduduk Kampung Ketior, pelajar kolej telah menganjurkan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh jururawat dari Klinik Kesihatan Manong.

Penduduk Kampung Ketior berasa gembira kerana mereka sering dihargai. Bak kata pepatah “bagai menatang minyak yang penuh”.

Keluarga Harmoni di Ketior


26 Oktober 2007 – Hari ini merupakan hari yang istimewa bagi keluarga penduduk Kampung Ketior dan pelajar Malay CollegeKuala Kangsar . Seramai 20 orang pelajar Malay College telah dijadikan sebagai anak angkat oleh penduduk Kampung Ketior.

Senyuman riang, tangan dicium, tangisan kegembiraan, dan pelukan mesra. Begitulah yang berlaku apabila pertama kali pelajar Malay College bertemu dengan keluarga angkat mereka di Kampung Ketior.

Hal ini sememangnya merupakan pengalaman yang baru dan menarik kepada kedua-dua belah pihak. Para pelajar kolej berasa bangga dan seronok apabila dijadikan anak angkat dan dianggap seperti darah daging.

Kehadiran keluarga baru, memberi seribu satu makna kepada keluarga penduduk Kampung Ketior.

Dunia Tanpa Sempadan di Ketior


27 Oktober 2007 merupakan hari yang dinanti-nantikan. Hari ini akan berlangsungnya majlis penyerahan komputer daripada Pasukan Khidmat Komuniti MCKK-Maxis CyberlinQ kepada penduduk Kg. Ketior. Majlis ini berlangsung di Dewan SK Sultan Abdul Aziz.
Para hadirin mula tiba seawal jam 9.30 pagi.Tetamu Kehormat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Industri, Usahawan dan Koperasi, Dato’ Ramly Zahari telah tiba pada pukul 10.00 pagi sambil dihadiri juga oleh Wakil Maxis dari Ipoh, En. Choy Kin Mun. penyerahan sumbangan dana komputer telah disempurnakan oleh Wakil Pengetua MCKK, En. Fairuz bin Leman.

Majlis ini tamat dengan satu Jamuan Hari Raya Aidilfitri hasil daripada semangat gotong-royong antara penduduk Kg.Ketior dan pelajar MCKK setelah habis Program Anak Angkat dan Homestay.
Sumbangan ini diharapkan mampu memberikan impak-impak positif kearah meningkatkan penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan penduduk MCKK. Penduduk Ketior perlu memanfaatkan peluang ini agar masyarakat yang progresif mampu dilahirkan.

Satu Lawatan, Seribu Pengertian


Pasukan Khidmat Komuniti MCKK Maxis CyberlinQ telah menganjurkan suatu lawatan sambil belajar ke MCKK sebagai salah satu pengisian program khidmat komuniti ini pada 11 dan 12 September 2007. Sekumpulan pelajar darjah 5 dari Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz telah diberi peluang keemasan ini untu mengunjungi MCKK. Sebagai salah sebuah sekolah elit di Malaysia, MCKK mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang dalam memainkan peranan yang penting untuk membangunkan modal insan. Tujuan utama lawatan diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar sekolah tersebut kepada suasana pembelajaran dan sistem sekolah berasrama penuh.
Selain itu, hal ini juga dapat menanamkan semangat yang membara dalam diri para pelajar untuk berusaha keras dalam menuntut ilmu. Dalam lawatan terbabit, mereka telah diberi sedikit penerangan mengenai sistem sekolah berasrama penuh. Para pelajar ini telah dibawa melihat seluruh kawasan MCKK. Mereka telah dibawa ke Galeri MCKK untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai sejarah MCKK. Lawatan telah diteruskan dengan melawat sekitar blok pentadbiran dan akademik bagi mendekatkan para pelajar dengan suasana pengajaran di MCKK. Antara kemudahan yang telah ditunjukkan ialah Resource Centre, Perpustakaan Tunku Abdul Rahman, Bili Formula One, kawasan asrama dan bilik latihan muzik yang lengkap.
Para pelajar terbabit telah bermalam di MCKK bagi merasai suasana di sekolah berasrama penuh. Sesungguhnya, dengan pendedahan secara langsung ini telah berjaya meningkatkan semangat ingin belajar dalam diri pelajar sekolah terbabit. Hal ini berupaya untuk menolong pihak kerajaan dalam melahirkan rakyat dan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bidang khususnya teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT )..

Monday, October 8, 2007

Langkah Awal, Penuh Makna...


Ceramah Motivasi dan Kerjaya MCKK-Maxis CyberlinQ diteruskan bagi memberikan dorongan diri kepada para pelajar dari Kg Ketior. Ceramah yang diadakan selama dua hari ini telah dihadiri oleh 30 orang pelajar tingkatan 4 dan juga 5. Program ini telah dikendalikan oleh beberapa orang guru yang berpengalaman dari MCKK serta dibantu oleh beberapa orang bekas pelajar MCKK atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Old Boys’ yang telah berjaya di bawah kelolaan Petronas.
Majlis ini bermula sekitar pukul 8.30 pagi pada 29 September 2007. Pelbagai tips dan intipati telah diberikan untuk memilih kerjaya mengikut pasaran, petua-petua menghadapi temu duga, resepi insan berjaya dan juga pendedahan mengenai biasiswa-biasiswa yang ditawarkan. Sebagai contoh, JPA, Khazanah Nasional, PNB, Petronas, Bank Negara, Felda dan pelbagai lagi.
Program diteruskan pada hari ahad iaitu pada 30 September 2007. Pada hari ini, ‘mock interview’ telah diadakan . Hari ini diharapkan mampu memberi peluang kepada pelajar-pelajar Kg Ketior menghadapi situasi temu duga yang sebenar dan seterusnya meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan. Sesungguhnya, program pada hari ini telah memanfaatkan penduduk Kg Ketior dan serta pelajar Kg Ketior khususnya, agar matlamat negara bagi membangunkan model insan mampu tercapai supaya masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan.

Sunday, September 16, 2007

Warna baru, gajah putih..


Pada 9 September 2007, kumpulan pelajar Maxis Cyberlinq MCKK sekali lagi bertandang ke Kampung Ketior bagi meneruskan aktiviti khidmat komuniti di sana. Pada kali ini, khidmat komuntiti Kg. Ketior dijalankan pada skala yang besar apabila seramai 60 orang pelajar MCKK telah dibawa ke Kg Ketior bagi melakukan aktiviti mengecat surau dan membersihkan tanah wakaf.
Kumpulan pelajar ini terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan A dan juga Kumpulan B.Kumpulan A akan melakukan aktiviti mengecat surau. Surau Kg. Ketior ini pada suatu ketika kelihatan sangat usang dan terbiar. Inisiatif yang diambil oleh pelajar-pelajar Maxis Cyberlinq MCKK telah membuahkan hasil apabila surau Kg Ketior menerima nafas baru. Warna putih ke warna biru. Itulah gambaran yang paling sempurna yang dapat dinyatakan terhadap kegiatan tersebut. Satu perkara yang amat membanggakan, apabila melihat kerjasama yang sangat erat telah ditunjukkan oleh penduduk Kg Ketior dengan pelajar MCKK. Aktiviti pembersihan tanah wakaf iaitu tanah perkuburan nyata mempunyai cerita yang berbeza. Dikelilingi pokok-pokok tinggi dan tumbuhan liar sememangnya satu cabaran besar terutama kepada mana-mana pelajar MCKK yang tidak pernah memegang parang ataupun sabit.
Mujurlah, kehadiran penduduk-penduduk KG Ketior yang sanggup turun padang, sedikit sebanyak dapat membantu kami membersihkan tanah wakaf tersebut.
Aktiviti ini berakhir tepat pada jam 12.30 tengahari. Pelbagai juadah hidangan telah disediakan oleh penduduk Kg Ketior terutamanya kaum perempuan sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar MCKK. Berdasarkan responden yang dilakukan terhadap penduduk Kg Ketior kebanyakan daripada mereka berasa gembira dan terharu di atas program yang telah dilaksanakan di Kg Ketior.
Tuntasnya, aktiviti ini dilangsungkan dengan jayanya. Kampung Ketior telah diberikan nafas baru ke arah melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sesungguhnya, program ini telah memanfaatkan para pelajar untuk menyelami dengan lebih dalam semangat kekitaan dalam kalangan penduduk desa. Ucapan syabas harus diberikan kepada semua atas segala bantuan, dorongan dan juga komitmen yang tidak terhingga. Perpaduan asas komuniti terbilang.

"Nafas baru Ketior"

Program khidmat komuniti Maxis Cyberlinq Malay College Kuala Kangsar diteruskan dengan aktiviti membersihkan surau pada 4 september 2007. Seramai 30 orang pelajar dari Persatuan Bulan Sabit Merah, Kelab Pengguna dan juga Kelab Anti Jenayah telah bertolak dari MCKK bersama-sama seorang guru sekitar pukul 3.45 petang. Pelbagai aktiviti membersih surau telah diadakan untuk memberi nafas baru kepada tempat yang serbaguna itu. Sesetengah pelajar telah berusaha membersihkan sampah-sarap di kawasan sekitar, membersihkan pinggan mangkuk dan pelbagai lagi.
Suasana ini telah memberikan suatu gambaran jelas bahawa pelajar lelaki juga mampu melakukan perkerjaan yang begitu sinonim perempuan seperti mencuci pinggan mangkuk dan menyediakan hidangan. Para penduduk Kampung Ketior juga tidak melepaskan peluang untuk bekerjasama membersihkan kawasan sekitar. Tua dan muda berganding bahu agar gajah putih itu mendapat warna yang baru ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan. Penghargaan yang diberikan oleh penduduk Kg. Ketior tidak akan dilupakan kerana semangat kekitaan yang wujud merupakan wadah terbaik ke arah sebuah negara yang harmoni berlandaskan konsep perpaduan : Muafakat membawa berkat.
Sesungguhnya, aktiviti pada hari ini telah memberikan pendedahan secara lebih mendalam kepada pelajar MCKK untuk memperhebat kemahiran bersosial dengan penduduk desa. Jurang yang wujud telah berjaya dihapuskan melalui hubungan silaturrahim yang terjadi melalui aktiviti. Sikap penduduk kampung yang begitu mesra telah memudahkan aktiviti ini dijalankan. Penghargaan dan ucapan terima kasih harus diberikan kepada pelajar MCKK melalui penglibatan mereka yang lebih menyeluruh supaya matlamat dan objektif program ini mampu tercapai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.