Sunday, September 16, 2007

Warna baru, gajah putih..


Pada 9 September 2007, kumpulan pelajar Maxis Cyberlinq MCKK sekali lagi bertandang ke Kampung Ketior bagi meneruskan aktiviti khidmat komuniti di sana. Pada kali ini, khidmat komuntiti Kg. Ketior dijalankan pada skala yang besar apabila seramai 60 orang pelajar MCKK telah dibawa ke Kg Ketior bagi melakukan aktiviti mengecat surau dan membersihkan tanah wakaf.
Kumpulan pelajar ini terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan A dan juga Kumpulan B.Kumpulan A akan melakukan aktiviti mengecat surau. Surau Kg. Ketior ini pada suatu ketika kelihatan sangat usang dan terbiar. Inisiatif yang diambil oleh pelajar-pelajar Maxis Cyberlinq MCKK telah membuahkan hasil apabila surau Kg Ketior menerima nafas baru. Warna putih ke warna biru. Itulah gambaran yang paling sempurna yang dapat dinyatakan terhadap kegiatan tersebut. Satu perkara yang amat membanggakan, apabila melihat kerjasama yang sangat erat telah ditunjukkan oleh penduduk Kg Ketior dengan pelajar MCKK. Aktiviti pembersihan tanah wakaf iaitu tanah perkuburan nyata mempunyai cerita yang berbeza. Dikelilingi pokok-pokok tinggi dan tumbuhan liar sememangnya satu cabaran besar terutama kepada mana-mana pelajar MCKK yang tidak pernah memegang parang ataupun sabit.
Mujurlah, kehadiran penduduk-penduduk KG Ketior yang sanggup turun padang, sedikit sebanyak dapat membantu kami membersihkan tanah wakaf tersebut.
Aktiviti ini berakhir tepat pada jam 12.30 tengahari. Pelbagai juadah hidangan telah disediakan oleh penduduk Kg Ketior terutamanya kaum perempuan sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar MCKK. Berdasarkan responden yang dilakukan terhadap penduduk Kg Ketior kebanyakan daripada mereka berasa gembira dan terharu di atas program yang telah dilaksanakan di Kg Ketior.
Tuntasnya, aktiviti ini dilangsungkan dengan jayanya. Kampung Ketior telah diberikan nafas baru ke arah melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sesungguhnya, program ini telah memanfaatkan para pelajar untuk menyelami dengan lebih dalam semangat kekitaan dalam kalangan penduduk desa. Ucapan syabas harus diberikan kepada semua atas segala bantuan, dorongan dan juga komitmen yang tidak terhingga. Perpaduan asas komuniti terbilang.

No comments: