Wednesday, August 8, 2007

Langkah Pertama,Penuh Harapan..



"Apa yang anda boleh lakukan untuk negara? Mulakan dengan komuniti anda.."


26 Julai 2007 merupakan tarikh bermulanya perjalanan program khidmat komuniti pelajar Malay College Kuala Kangsar di Kampong Ketior, Kuala Kangsar.

Kampong Ketior yang unik ini mempunyai sejarah dan kisah yang tersendiri. Nama kampung ini iaitu "Ketior " adalah sebuah nama pokok yang tumbuh subur di dalam hutan hujan tropika di Malaysia. Apa yang lebih menarik, desa yang indah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampong Ketior Luar dan Kampung Ketior Dalam. Terletak di dalam kawasan DUN Manong, jumlah penduduknya dianggarkan sebanyak 400 orang dengan kegiatan sosio ekonomi yang lebih menjurus ke arah kegiatan pertanian. Walau bagaimanapun, perubahan masa dan waktu telah menjadikan berlakunya beberapa transformasi positif seperti semakin ramai golongan muda berhijrah ke kota metropolitan bagi mencari peluang pekerjaan dan mata pencarian sekali gus meningkatkan taraf hidup masing-masing. Ketika berlangsungnya pertemuan pertama antara wakil pelajar dan guru MCKK dengan Ahli Jawatan Kuasa Kampong Ketior, beberapa gagasan idea telah diperoleh. Bagi memastikan program khidmat komuniti bermakna dan mempunyai mesej yang tersendiri, aktiviti seperti program motivasi, gotong-royong malah membersihkan tapak perkuburan telah dicadangkan.

Aspek Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT) turut menjadi agenda penting pada petang itu. Bagi merapatkan komuniti dengan ICT, pihak MCKK telah bersetuju melengkapkan kemudaha ICT di dewan serbaguna Kampong Ketior. Sememangnya, kemudahan ICT adalah amat penting dalam dunia globalisasi sederwasana ini.

Secara holistiknya, pertemuan pada petang itu telah berjaya membawa beberapa impak positif. Seluruh pasukan akan berganding bahu sebagai satu pasukan bagi menjadikan program khidmat komuniti ini berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Sesungguhnya, langkah pertama ini penuh dengan harapan.