Monday, August 13, 2007

Harapan Ayah Bonda, Matlamat Kami Semua...


Hari ini ( 12 Ogos 2007) merupakan aktiviti kemasyarakatan pertama Program Khidmat Komuniti Malay College Kuala Kangsar Maxis CyberlinQ. Program peningkatan Akademik dan Diri ini telah dikendalikan oleh beberapa orang pelajar berkaliber dari MCKK. Membantu selagi terdaya. Itulah matlamat kami untuk program pada hari ini. Aktiviti dimulakan agak hambar kerana hujan turun renyai-renyai. Namun begitu, situasi ini tidak mematahkan semangat para pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz untuk mengikuti program ini. Ketibaan Penolong Kanan sekolah terbabit menyemarakkan lagi suasana. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Siapa Saya, Matlamatku Impianku, kenali Diri, Harapan Bonda dan Ikrar Saya. Program ini telah berjaya mencapai matlamat hasil kerjasama daripada pelajar-pelajar MCKK, guru-guru MCKK, pelajar-pelajar Sekolah kebangsaan Sultan Abdul Aziz dan guru-guru sekolah terbabit. Pelbagai penekanan telah dilakukan seperti menyemarakkan semangat mereka untuk mendapat 5A dan juga pelbagai aspek lain.


Selain itu juga, para pelajar telah didedahkan tips-tips terbaik menjawab soalan peperiksaan. Penerangan yang jelas oleh fasilitator-fasilitator yang dilantik telah menarik perhatian para pelajar.Suatu revolusi minda telah terjadi melalui beberapa permainan yang disediakan. Tumpuan dan perhatian yang diberikan cukup membuktikan bahawa pelajar-pelajar sekolah terbaik sudah bersedia untuk menjadikan program ini sebagai persediaan terakhir menghadapi UPSR. Sesungguhnya, objektif atau matlamat hari ini telah tercapai apabila para pelajar menangis teresak-esak sewaktu sesi terakhir. Mereka mengenangkan harapan ayah bonda yang begitu gigih untuk mencari nafkah hidup dan mengharapkan mereka mendapat 5A dalam UPSR. Ucapan syabas harus diberikan kepada fasilitator yang bertugas kerana kemampuannya untuk menyebabkan dewan menjadi sayu untuk sementara waktu.

Program hari ini diakhiri dengan sesi fotografi. Para pelajar sekolah terbabit juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil autograf ‘abang-abang’ fasilitator untuk dijadikan kenangan dan juga untuk menghargai usaha mereka yang telah menyebabkan mereka insaf serta berasa semangat untuk mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang akan diadakan pada bulan September ini. Penglibatan para pelajar MCKK secara holistik merupakan suatu wadah terbaik membuktikan bahawa sikap’ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ memang cukup sinonim dengan pelajar MCKK bagi melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang selaras dengan matlamat negara melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP) untuk membangunkan modal insan. Generasi cemerlang pemangkin kemajuan negara.

“ Kami berharap akan ada wakil pelajar sekolah ini di MCKK pada tahun hadapan kerana MCKK merupakan antara sekolah kluster terbaik di Malaysia

-Penolong Kanan Sekolah Sultan Abdul Aziz