Sunday, September 16, 2007

Warna baru, gajah putih..


Pada 9 September 2007, kumpulan pelajar Maxis Cyberlinq MCKK sekali lagi bertandang ke Kampung Ketior bagi meneruskan aktiviti khidmat komuniti di sana. Pada kali ini, khidmat komuntiti Kg. Ketior dijalankan pada skala yang besar apabila seramai 60 orang pelajar MCKK telah dibawa ke Kg Ketior bagi melakukan aktiviti mengecat surau dan membersihkan tanah wakaf.
Kumpulan pelajar ini terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan A dan juga Kumpulan B.Kumpulan A akan melakukan aktiviti mengecat surau. Surau Kg. Ketior ini pada suatu ketika kelihatan sangat usang dan terbiar. Inisiatif yang diambil oleh pelajar-pelajar Maxis Cyberlinq MCKK telah membuahkan hasil apabila surau Kg Ketior menerima nafas baru. Warna putih ke warna biru. Itulah gambaran yang paling sempurna yang dapat dinyatakan terhadap kegiatan tersebut. Satu perkara yang amat membanggakan, apabila melihat kerjasama yang sangat erat telah ditunjukkan oleh penduduk Kg Ketior dengan pelajar MCKK. Aktiviti pembersihan tanah wakaf iaitu tanah perkuburan nyata mempunyai cerita yang berbeza. Dikelilingi pokok-pokok tinggi dan tumbuhan liar sememangnya satu cabaran besar terutama kepada mana-mana pelajar MCKK yang tidak pernah memegang parang ataupun sabit.
Mujurlah, kehadiran penduduk-penduduk KG Ketior yang sanggup turun padang, sedikit sebanyak dapat membantu kami membersihkan tanah wakaf tersebut.
Aktiviti ini berakhir tepat pada jam 12.30 tengahari. Pelbagai juadah hidangan telah disediakan oleh penduduk Kg Ketior terutamanya kaum perempuan sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar MCKK. Berdasarkan responden yang dilakukan terhadap penduduk Kg Ketior kebanyakan daripada mereka berasa gembira dan terharu di atas program yang telah dilaksanakan di Kg Ketior.
Tuntasnya, aktiviti ini dilangsungkan dengan jayanya. Kampung Ketior telah diberikan nafas baru ke arah melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sesungguhnya, program ini telah memanfaatkan para pelajar untuk menyelami dengan lebih dalam semangat kekitaan dalam kalangan penduduk desa. Ucapan syabas harus diberikan kepada semua atas segala bantuan, dorongan dan juga komitmen yang tidak terhingga. Perpaduan asas komuniti terbilang.

"Nafas baru Ketior"

Program khidmat komuniti Maxis Cyberlinq Malay College Kuala Kangsar diteruskan dengan aktiviti membersihkan surau pada 4 september 2007. Seramai 30 orang pelajar dari Persatuan Bulan Sabit Merah, Kelab Pengguna dan juga Kelab Anti Jenayah telah bertolak dari MCKK bersama-sama seorang guru sekitar pukul 3.45 petang. Pelbagai aktiviti membersih surau telah diadakan untuk memberi nafas baru kepada tempat yang serbaguna itu. Sesetengah pelajar telah berusaha membersihkan sampah-sarap di kawasan sekitar, membersihkan pinggan mangkuk dan pelbagai lagi.
Suasana ini telah memberikan suatu gambaran jelas bahawa pelajar lelaki juga mampu melakukan perkerjaan yang begitu sinonim perempuan seperti mencuci pinggan mangkuk dan menyediakan hidangan. Para penduduk Kampung Ketior juga tidak melepaskan peluang untuk bekerjasama membersihkan kawasan sekitar. Tua dan muda berganding bahu agar gajah putih itu mendapat warna yang baru ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan. Penghargaan yang diberikan oleh penduduk Kg. Ketior tidak akan dilupakan kerana semangat kekitaan yang wujud merupakan wadah terbaik ke arah sebuah negara yang harmoni berlandaskan konsep perpaduan : Muafakat membawa berkat.
Sesungguhnya, aktiviti pada hari ini telah memberikan pendedahan secara lebih mendalam kepada pelajar MCKK untuk memperhebat kemahiran bersosial dengan penduduk desa. Jurang yang wujud telah berjaya dihapuskan melalui hubungan silaturrahim yang terjadi melalui aktiviti. Sikap penduduk kampung yang begitu mesra telah memudahkan aktiviti ini dijalankan. Penghargaan dan ucapan terima kasih harus diberikan kepada pelajar MCKK melalui penglibatan mereka yang lebih menyeluruh supaya matlamat dan objektif program ini mampu tercapai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.