Tuesday, August 14, 2007

Pelancaran Program Khidmat Masyarakat


14 Ogos 2007. Program Khidmat Masyarakat Maxis Cyberlinq, The Malay College telah dilancarkan di Kampung Ketior. Pelancaran tersebut telah dimulakan pada pukul 4 petang bertempat di Dewan Sekolah Sultan Abdul Aziz setelah ketibaan tetamu dan div-div kehormat. Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Industri, Usahawan dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, Dato’ Ramli Zahari merupakan suatu penghormatan terbesar kepada pelancaran program komuniti ini.

Bacaan doa telah di ketuai oleh wakil pelajar The Malay College sebagai tanda kesyukuran dan keberkatan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan wakil pelajar The Malay College setelah pengacara majls memberi penerangan serba ringkas mengenai projek ini kepada warga dewan yang hadir.

Ucapan yang sangat menyentuh kotak pemikiran warga dewan telah memberi impak yang positif kepada seluruh hadirin.Kemudian, Tuan Pengetua telah memberi sepatah dua kata dengan mengingatkan objektif dan misi projek ini kepada warga dewan khususnya para pelajar The Malay College sendiri. Saat-saat klimaks tiba dengan ucapan Yang Berhormat, Dato’ Ramli Zahari. Beberapa nasihat dan harapan telah diberikan dan diamanatkan agar projek ini berjaya dengan cemerlangnya.

Perasmian ini bukanlah seperti perasmian yang biasa dilakukan oleh mana-mana perasmian, tetapi perasmian ini telah menggabungkan unsur-unsur idea yang kritis dan kreatif serta teknologi moden. Tayangan video telah ditayangkan setelah Yang Berhormat Dato’ Ramli Zahari merasmikan majlis ini.Video ini telah dioleh sendiri oleh anggota pasukan Maxis Cyberlinq sendiri. Secara tidak langsung membuktikan kemampuan pasukan ini untuk menjayakan hasrat yang menggunung. Kemudian, sessi fotografi telah diadakan sebagai kenangan dan perangsang untuk pasukan ini bergerak dengan deras penuh bersemangat lagi.

Kesimpulannya, pelancaran program ini menjadi titik tolak permulaan kepada seribu satu perubahan yang bakal berlaku kepada penduduk Kampung Ketior dan para pelajar sendiri. Dengan iltizam, semangat dan kepimpinan warga The Malay College yang jitu, program Khidmat Komuniti Maxis Cyberlinq ini pasti akan membawa anajakan paradigma kepada seluruh komuniti Kampung Ketior.

'Dana Kecil, Besar Makna'


‘Dana Kecil, Besar Makna’. Inilah ungkapan yang dapat dikaitkan dengan aktiviti yang dilakukan oleh warga The Malay College pada pagi 13 Ogos 2007. Aktiviti ini diadakan untuk mendapatkan dana bagi membiayai program Maxis Cyberlinq Community Service selain melibatkan seluruh warga kolej dalam projek ini. Sumbangan dikumpul mengikut bajet yang telah ditetapkan dan akan digunakan khasnya untuk menjayakan projek ini. Program ini dimulakan dengan majlis perasmian ‘Dana Kecil, Besar Makna’ di Dewan Hargreaves yang penuh bersejarah bagi warga The Malay College. Pengarah projek Maxis Cyberlinq The Malay College, Mohd Affendi bin Mohd Hasni telah mengulas sedikit sebanyak mengenai projek Maxis Cyberlinq Community Service. Pengenalan yang serba sedikit ini telah banyak memberi kesedaran kepada warga The Malay College khususnya para pelajar sendiri. Seterusnya,Tuan Pengetua, Encik Muhd Rauhi bin Mohd Isa telah memberi ucapan yang memberangsangkan dan merasmikan program sehari ‘Dana Kecil, Besar Makna’dengan megahnya. Menurut beliau, program seumpama ini harus diterap dan dijadikan amalan oleh para pelajar bagi membentuk jati diri yang mulia dan peribadi yang unggul. Usaha ini menampakkan hasilnya apabila pihak koperasi The Malay College telah menyumbang dana sebanyak RM 500
sebagai tanda menyokong usaha-usaha yang dilakukan dan mengurangkan beban yang ditanggung kumpulan projek dalam memulakan projek yang penuh erti ini. Selepas itu, Tuan Pengetua telah menggamatkan lagi suasana dewan apabila menjemput ketua-ketua tingkatan untuk tampil memulakan langkah memberi sumbangan.Tabung ‘Dana Kecil, Besar Makna’ juga telah diagihkan kepada semua tenaga pengajar,pekerja-pekerja dan semua pelajar The Malay College. Sekaligus melibatkan seluruh warga The Malay College dalam program yang mulia ini. Program ini diakhiri dengan jayanya dan dipenuhi dengan keberkatan yang tidak terhingga.

Monday, August 13, 2007

Harapan Ayah Bonda, Matlamat Kami Semua...


Hari ini ( 12 Ogos 2007) merupakan aktiviti kemasyarakatan pertama Program Khidmat Komuniti Malay College Kuala Kangsar Maxis CyberlinQ. Program peningkatan Akademik dan Diri ini telah dikendalikan oleh beberapa orang pelajar berkaliber dari MCKK. Membantu selagi terdaya. Itulah matlamat kami untuk program pada hari ini. Aktiviti dimulakan agak hambar kerana hujan turun renyai-renyai. Namun begitu, situasi ini tidak mematahkan semangat para pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz untuk mengikuti program ini. Ketibaan Penolong Kanan sekolah terbabit menyemarakkan lagi suasana. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Siapa Saya, Matlamatku Impianku, kenali Diri, Harapan Bonda dan Ikrar Saya. Program ini telah berjaya mencapai matlamat hasil kerjasama daripada pelajar-pelajar MCKK, guru-guru MCKK, pelajar-pelajar Sekolah kebangsaan Sultan Abdul Aziz dan guru-guru sekolah terbabit. Pelbagai penekanan telah dilakukan seperti menyemarakkan semangat mereka untuk mendapat 5A dan juga pelbagai aspek lain.


Selain itu juga, para pelajar telah didedahkan tips-tips terbaik menjawab soalan peperiksaan. Penerangan yang jelas oleh fasilitator-fasilitator yang dilantik telah menarik perhatian para pelajar.Suatu revolusi minda telah terjadi melalui beberapa permainan yang disediakan. Tumpuan dan perhatian yang diberikan cukup membuktikan bahawa pelajar-pelajar sekolah terbaik sudah bersedia untuk menjadikan program ini sebagai persediaan terakhir menghadapi UPSR. Sesungguhnya, objektif atau matlamat hari ini telah tercapai apabila para pelajar menangis teresak-esak sewaktu sesi terakhir. Mereka mengenangkan harapan ayah bonda yang begitu gigih untuk mencari nafkah hidup dan mengharapkan mereka mendapat 5A dalam UPSR. Ucapan syabas harus diberikan kepada fasilitator yang bertugas kerana kemampuannya untuk menyebabkan dewan menjadi sayu untuk sementara waktu.

Program hari ini diakhiri dengan sesi fotografi. Para pelajar sekolah terbabit juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil autograf ‘abang-abang’ fasilitator untuk dijadikan kenangan dan juga untuk menghargai usaha mereka yang telah menyebabkan mereka insaf serta berasa semangat untuk mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang akan diadakan pada bulan September ini. Penglibatan para pelajar MCKK secara holistik merupakan suatu wadah terbaik membuktikan bahawa sikap’ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ memang cukup sinonim dengan pelajar MCKK bagi melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang selaras dengan matlamat negara melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP) untuk membangunkan modal insan. Generasi cemerlang pemangkin kemajuan negara.

“ Kami berharap akan ada wakil pelajar sekolah ini di MCKK pada tahun hadapan kerana MCKK merupakan antara sekolah kluster terbaik di Malaysia

-Penolong Kanan Sekolah Sultan Abdul Aziz

Friday, August 10, 2007

Sepetang Di Ketior...


“ Kita perlu manfaatkan peluang ini. Bukan senang pelajar MCKK hendak buat program di sini. Setidak-tidaknya orang kenal Kampong Ketior….”

Penghulu Abdullah

Kata-kata ini terus menjadi pembakar semangat kepada Pasukan MAXIS CYBERLINQ MCKK ketika mesyuarat kali kedua yang diadakan pada 10 Ogos 2007. Dalam perbincangan ini, keputusan sebulat suara telah dicapai antara masyarakat Kampong Ketior dengan pihak MCKK mengenai majlis pelancaran yang bakal dilangsungkan secara meganya pada 14 Ogos 2007 di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Muda Abdul Aziz.

Ketika sesi perbincangan berlangsung, Cik Norsafaliza Bt. Ibrahim yang bertindak sebagai guru penasihat telah memberikan taklimat secara terperinci mengenai keseluruhan program khidmat masyarakat yang diadakan di Kampong Ketior. Manakala, saudara Muhammad Affendy Bin Hasni pula meenerangkan mengenai tentatif program Majlis Pelancaran yang akan diadakan pada 14 Ogos 2007.

Berdasarkan pemerhatian kami, kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat Kampong Ketior adalah berada pada tahap yang amat membanggakan. Seluruh ahli jawatankuasa kampong yang terdiri daripada kaum ibu dan bapa sanggup meluangkan masa semata-mata untuk hadir ke mesyuarat tersebut. Hal ini adalah satu indicator yang amat baik bahawa program khidmat komuniti ini akan berjaya dengan lancar.

Sekalung penghargaan ditujukan khas kepada Penghulu Kampong Ketior dan seluruh ahli jawatankuasa Kampong Ketior atas komitmen yang ditunjukkan. Baiklah, jumpa lagi ketika perasmian….(^_^)

Wednesday, August 8, 2007

Langkah Pertama,Penuh Harapan..



"Apa yang anda boleh lakukan untuk negara? Mulakan dengan komuniti anda.."


26 Julai 2007 merupakan tarikh bermulanya perjalanan program khidmat komuniti pelajar Malay College Kuala Kangsar di Kampong Ketior, Kuala Kangsar.

Kampong Ketior yang unik ini mempunyai sejarah dan kisah yang tersendiri. Nama kampung ini iaitu "Ketior " adalah sebuah nama pokok yang tumbuh subur di dalam hutan hujan tropika di Malaysia. Apa yang lebih menarik, desa yang indah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampong Ketior Luar dan Kampung Ketior Dalam. Terletak di dalam kawasan DUN Manong, jumlah penduduknya dianggarkan sebanyak 400 orang dengan kegiatan sosio ekonomi yang lebih menjurus ke arah kegiatan pertanian. Walau bagaimanapun, perubahan masa dan waktu telah menjadikan berlakunya beberapa transformasi positif seperti semakin ramai golongan muda berhijrah ke kota metropolitan bagi mencari peluang pekerjaan dan mata pencarian sekali gus meningkatkan taraf hidup masing-masing. Ketika berlangsungnya pertemuan pertama antara wakil pelajar dan guru MCKK dengan Ahli Jawatan Kuasa Kampong Ketior, beberapa gagasan idea telah diperoleh. Bagi memastikan program khidmat komuniti bermakna dan mempunyai mesej yang tersendiri, aktiviti seperti program motivasi, gotong-royong malah membersihkan tapak perkuburan telah dicadangkan.

Aspek Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT) turut menjadi agenda penting pada petang itu. Bagi merapatkan komuniti dengan ICT, pihak MCKK telah bersetuju melengkapkan kemudaha ICT di dewan serbaguna Kampong Ketior. Sememangnya, kemudahan ICT adalah amat penting dalam dunia globalisasi sederwasana ini.

Secara holistiknya, pertemuan pada petang itu telah berjaya membawa beberapa impak positif. Seluruh pasukan akan berganding bahu sebagai satu pasukan bagi menjadikan program khidmat komuniti ini berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Sesungguhnya, langkah pertama ini penuh dengan harapan.